APMM terus kenal pasti dalang jual peledak bom ikan
PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memperhebatkan risikan bagi mengenal pasti dalang penjualan bahan peledak yang digunakan dalam aktiviti bom ikan di perairan negara, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Datuk Mohamad Zubil Mat Som.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan rakyat tempatan menjadi dalang dalam penjualan bahan peledak itu.
“Penyebab asal ialah detonator itu sendiri. Jadi kita kena ada kesanggupan dan usaha untuk mencari siapa dalang-dalang yang bekalkan bahan peledak ini, baru kita boleh potong semuanya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sebelum itu, Mohamad Zubil mewakili APMM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kolaborasi strategik keselamatan dan kesejahteraan pelantar minyak antara APMM dan Petronas di sini, hari ini. Petronas diwakili Naib Presiden Kanan Pengurusan Ir Mohamed Firouz Asnan.
Pada 5 Julai lepas, tiga mangsa iaitu dua pelancong China dan seorang juruselam tempatan maut ketika melakukan aktiviti penyelaman di Pulau Kulapuan, Semporna, Sabah, akibat aktiviti pengeboman ikan.
Menurut Mohamad Zubil, ikan hasil aktiviti pengeboman kebanyakannya dibeli peraih ikan untuk membuat ikan masin dan dibeli warga pendatang asing tanpa izin kerana harganya murah.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Zubil berkata dari awal tahun ini sehingga Jumaat lepas (12 Julai), APMM telah menahan 104 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara serta menahan 866 orang.
"Tangkapan itu melibatkan 91 bot dari Vietnam, dari Thailand (sembilan) dan Indonesia (empat), di mana sebahagian daripadanya ditahan ketika operasi Ops Naga yang dijalankan di perairan Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula 25 April lepas," katanya.
Mohamed Firouz berkata, MoU yang ditandatangani hari ini dapat memastikan keselamatan aset Petronas yang berada di perairan dan memastikan keselamatan pekerja di atas platfrom.
Antara pendekatan utama yang dikenal pasti ialah menerapkan kesedaran tentang keselamatan kepada komuniti maritim mengenai zon selamat dan risiko memasuki radius 5,000 meter dari pelantar minyak melalui Program Sahabat Maritim.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!