Nangka madu laris di London
TEMERLOH- Sebanyak 98 tan metrik nangka madu (J33) telah menembusi pasaran di London sejak ia mula dieksport pada 2017 hingga kini.
Buah tersebut hasil dari Ladang Demensi Sejahtera dari Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) Lanchang menjadi perintis pengeksport buat terbabit di London.
Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama dan sokongan kepada pengusaha yang terlibat.
Menurutnya, dengan jaringan pemasaran yang telah diwujudkan, beliau berharap usahawan-usahawan lain merebut peluang yang terhidang untuk pasaran luar negara selain domestik.
"Kita berasa bangga kerana satu lagi produk pertanian dari Pahang yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
"Kita menggalakkan pengusaha-pengusaha ladang di TKPM untuk mengikuti jejak yang dilakukan oleh ladang ini," katanya.
Beliau ditemui pada program perasmian "From Lanchang to London" di ladang terbabit yang terletak di TKPM Lanchang hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pertanian negeri, Datuk Zahimi Hassan dan pengusaha Dimensi Sejahtera,Yussof Buyamin.
Sementara itu,Yussof mengakui pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan tinggi buah terbabit berikutan ladangnya hanya dapat menghasilkan pengeluaran secara purata hingga 20 tan sahaja setiap bulan.
Menurutnya, buat masa ini beliau dalam proses memohon tambahan 40 hektar tanah daripada kerajaan negeri untuk menampung permintaan tersebut.
"Buat masa ini, keluasan ladang kira-kira 40 hektar dengan 5,000 pokok yang telah ditanam sejak 2008 dan bermula Jun 2017, nangka madu di ladang ini dapat dieksport di London.
"Kelebihan pada nangka madu daripada ladang ini iaitu rangup, tahan lama dan memiliki kadar kemanisan tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!