Kes murid bas jerlus rujuk pendakwa
KOTA BHARU - Kes murid tahun enam yang maut terjatuh dari bas akibat lantai reput ketika kenderaan itu sedang bergerak di Jalan Kampung Kandis, Pasir Puteh awal bulan ini akan dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, perkara tersebut akan dilakukan dalam tempoh terdekat sebaik kertas siasatan berhubung kes kematian mangsa, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, dilengkapkan pihak polis.
“Ketika ini kami masih menunggu laporan Puspakom, perubatan dan bedah siasat bagi menyempurnakan kertas siasatan itu sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Selepas rujukan nanti baru dapat diketahui cadangan atau bentuk pendakwaan yang akan dilakukan terhadap pemandu bas berusia 45 tahun yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Majlis Pelepasan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kelantan ke Perkemahan Peringkat Kebangsaan ke-21/2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Menurutnya, dalam kertas siasatan itu pihaknya meneliti aspek kecuaian pemandu bas sekolah terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil pemerhatian awal pihak polis tidak menolak adanya unsur cuai hingga menyebabkan berlaku kematian, bagaimanapun kesemua tertakluk kepada pihak pendakwaan yang akan meneliti kertas siasatan.
“Polis sudah mengambil keterangan penumpang, pemandu, dan semua pihak yang terlibat dalam kes ini, namun jika laporan yang diterima selepas ini memerlukan kita memanggil semua saksi, maka perkara itu akan dilakukan dan siasatan tetap diteruskan walaupun memakan masa,” katanya.
Pada 4 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, itu maut dalam keadaan tragis selepas terjatuh ke atas jalan raya akibat terpijak lantai bas reput dalam kejadian di Kampung Kandis, Pasir Puteh pada jam 11.50 pagi.
Mangsa sebelum itu bersama rombongan 31 murid sekolahnya dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Besut, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!