JPJ Terengganu keluarkan 648 saman dalam op khas

Sejumlah 648 saman dikeluarkan termasuk dalam operasi di Jalan Sultan Mahmud ke bulatan Batu Enam semalam. Gambar kecil, Zulkarnain
Sejumlah 648 saman dikeluarkan termasuk dalam operasi di Jalan Sultan Mahmud ke bulatan Batu Enam semalam. Gambar kecil, Zulkarnain
A
A
A

KUALA NERUS - Sejumlah 648 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam Operasi Khas Nombor Pendaftaran yang bermula 1 hingga 14 Julai.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, saman itu dikeluarkan di atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan peraturan ditetapkan Akta Pengangkutan Jalan dan Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu dikenakan notis saman bagi kesalahan ini boleh dikompaun sehingga maksimum RM300 termasuk tindakan menyenaraihitamkan pemandu yang gagal menjelaskan kompaun," katanya, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turun padang bersama-sama anggota penguat kuasa JPJ Terengganu ketika mengadakan Ops Khas Nombor Pendaftaran di Jalan Sultan Mahmud ke Bulatan Batu Enam di sini.

Dalam perkembangan sama, Zulkarnain berkata, sembilan kes saman dikeluarkan kepada pemandu mempamerkan nombor pendaftaran mengelirukan bagi mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan.

"Mereka ini dipercayai mahu mengelakkan diri dari dikenakan tindakan oleh pihak penguat kuasa semasa menjalankan penguatkuasaan atau pun bertujuan mahu mengelirukan pihak penguat kuasa.

"Pemandu kenderaan yang terbabit ini juga dilihat seperti sengaja membuang atau menghilangkan salah satu nombor atau angka pada nombor pendaftaran mereka," katanya.

Tambahnya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa malah pihaknya sentiasa bertindak tegas terhadap pemandu dan pemilik kenderaan yang tidak mengikut peraturan telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!