Ambil tindakan jika harga melampau: Exco
KULAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor ada menerima aduan mengenai kenaikan harga kasut sekolah berwarna hitam di negeri ini.
Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Dr S Ramakrishnan berkata, pihaknya ambil maklum tentang perkara tersebut dan akan membuat pemantauan.
“Walaupun perkara tersebut di luar bidang kuasa kami kerana kasut sekolah tidak tergolong dalam kategori barang kawalan, KPDNHEP boleh mengambil tindakan jika peniaga mengenakan harga melampau atau mengambil keuntungan berlebihan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pengumuman penentuan harga maksimum barangan harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018, di sini, semalam.
Ramakrishnan berkata, notis akan dikeluarkan sebelum tindakan susulan dibuat, jika pihaknya mengenal pasti wujud peniaga yang mengenakan harga melampau terhadap kelengkapan itu.
Sementara itu, katanya, sebanyak 16 jenis barangan harga terkawal dikuatkuasakan mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 di negeri ini bermula dari 23 hingga 27 Disember.
“Antara barang harga terkawal disenaraikan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda import, ayam tua, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang, telur ayam gred A, B dan C, tomato serta lada benggala hijau,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!