24 kementerian, jabatan, agensi kerajaan capai tahap pengurusan cemerlang
KUCHING – Sebanyak 24 daripada 32 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri Sarawak yang diaudit pada 2018 mencapai tahap pengurusan kewangan Cemerlang, menurut Laporan Ketua Audit Negara.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018, Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, tujuh lagi kementerian, jabatan, agensi negeri berkenaan yang diaudit mencapai tahap Baik dan satu kementerian pada tahap Kurang Memuaskan.
“Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntibility) aspek elemen Pengurusan Perolehan mendapati 24 kementerian, jabatan dan agensi negeri Sarawak mencapai tahap Cemerlang, empat pada tahap Baik, satu Memuaskan, dan tiga Kurang Memuaskan,” menurut laporan tersebut.
Menurut laporan, kelemahan yang dikenal pasti ialah terdapat beberapa kementerian, jabatan dan agensi tidak membelanjakan peruntukan Perbelanjaan Mengurus yang diterima dan membelanjakan tidak lebih dari 50 peratus bagi Perbelanjaan Pembangunan.
Selain itu, isu yang dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara yang perlu diberi perhatian oleh kementerian, jabatan dan agensi negeri Sarawak adalah penetapan Resit Rasmi.
“Resit Rasmi mestilah dikeluarkan pada masa urusan dibuat dan jika seseorang pembayar hadir sendiri, Resit Rasmi itu mestilah diserahkan kepadanya. Apabila wang awam diterima melalui pos atau penghantaran, Resit Rasmi baginya mestilah disediakan pada hari itu juga dan dihantar selewat-lewatnya pada hari bekerja berikutnya.
Menurut laporan itu, sebanyak 73 resit berjumlah RM406,480 melibatkan kementerian, jabatan dan agensi negeri Sarawak telah lewat disediakan di antara satu hingga 35 hari bekerja.
Sehubungan itu, jabatan atau agensi negeri Sarawak yang terlibat harus mengambil tindakan segera.
“Agensi kerajaan negeri juga perlu memantau aktiviti syarikat miliknya untuk mewujudkan tadbir urus yang baik, mematuhi undang-undang dan peraturan kerajaan, berdaya saing serta memastikan objektif penubuhan syarikat tercapai sepenuhnya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!