Perbelanjaan Kumpulan Wang SKMM diurus secara tak cekap
KUALA LUMPUR - Perbelanjaan Kumpulan Wang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diurus secara tidak cekap dan berkesan, khususnya berkaitan perbelanjaan di bawah arahan menteri kerajaan terdahulu.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, mendapati walaupun Akta SKMM membenarkan arahan menteri untuk melakukan sesuatu perbelanjaan, namun perbelanjaan dilakukan didapati tidak selaras dengan aktiviti utama SKMM sebagai badan pengawal selia industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
Ini termasuk perbelanjaan bagi 12 program tanggungjawab sosial korporat SKMM sebanyak RM12.81 juta di bawah arahan menteri.
Antaranya membeli 50,000 naskah buku mengenai Perdana Menteri (ketika itu) Datuk Seri Najib Tun Razak, ‘Predictive Analytics on Sungai Besar by-election’, dan rumah terbuka Parlimen Hulu Terengganu, menurut laporan itu yang membuat audit ke atas penyata kewangan SKMM bagi tahun berakhir 31 Disember 2015, 2016 dan 2017.
Laporan itu juga menyentuh mengenai pelantikan sembilan orang pegawai khas kepada menteri dan timbalan menteri yang dilantik dalam tahun 2016 hingga bulan Jun 2018.
“Pelantikan pegawai khas ini tidak disokong dengan perincian yang jelas mengenai skop dan tanggungjawab pegawai dilantik serta perkaitannya dengan fungsi dan peranan SKMM,” menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.
Menurut laporan itu, sebanyak RM1.22 juta telah dibayar daripada Kumpulan Wang SKMM bagi tempoh sama kepada kesemua pegawai tersebut yang meliputi gaji, insentif prestasi, insentif perayaan dan elaun kerja lebih masa.
Justeru, laporan itu mengemukakan syor supaya sebarang permohonan yang memerlukan kelulusan menteri atau pengerusi perlu dimaklumkan kepada Anggota Suruhanjaya dan diluluskan di peringkat Anggota Suruhanjaya sebelum dikemukakan kepada kepada menteri berkenaan.
“Bagi memantapkan peranan Anggota Suruhanjaya, ‘Green Book – Enhancing Board Effectiveness’ perlu dijadikan sebagai panduan dan langkah kawalan dalaman bagi memastikan tadbir urus kewangan yang baik dapat dilaksanakan dalam organisasi,” menurut laporan itu.
Laporan itu turut mengesyor supaya SKMM mengkaji semula peruntukan akta berkaitan kuasa menteri bagi meningkatkan tadbir urus dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan di SKMM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!