Dua program Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang gagal capai objektif

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Pelaksanaan Program Permanian Beradas (PPB) dan Program Pembangunan Pusat Sumber Genetik Ternakan (PSGT) yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang (JPVNP) disifatkan gagal mencapai objektif.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, program itu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM0.55 juta bagi tahun 2016 hingga 2018, gagal meningkatkan populasi dan kualiti genetik ternakan lembu bagi mencapai tahap pengeluaran daging dalam negeri.

"Prestasi program PPB bagi 2016 hingga 2018 tidak mencapai sasaran kerana JPVNP hanya mampu melahirkan sembilan orang jurusuntik berbanding sasaran 35 orang dan hanya 7,952 suntikan dilaksanakan berbanding sasaran 30,000 suntikan.

“Daripada jumlah (suntikan), pencapaian jumlah kelahiran ialah sebanyak 1,951 ekor manakala Prestasi Program Pembangunan PSGT pula tidak mencapai objektif penubuhannya kerana tiada pengagihan baka ternakan berbanding sasaran 129 ekor," menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Laporan itu juga menyebut pengurusan aktiviti PBB tidak cekap adalah disebabkan semua jurusuntik permanian beradas tidak ditauliahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

Laporan itu juga menyebut pengurusan aktiviti ladang PSGT di Bukit Kajang, Sepayang dan Ulu Lepar disifatkan tidak cekap kerana berlaku keturunan sebaka (inbreeding) dengan penggunaan baka lembu jantan yang sama secara berterusan, selain ternakan juga kekurangan nutrien rumput meragut dan makanan tambahan.

"Pada pendapat audit, pengurusan nutrien harian ternakan lembu tidak dilaksanakan dengan cekap dan berkesan yang mana keadaan ini telah menjejaskan kesihatan dan kualiti ternakan," menurut laporan itu.

JPVNP dilaporkan berkata sasaran 10,000 suntikan setahun tidak dicapai kerana peruntukan daripada Kerajaan Negeri hanya RM50,000 setahun, berbanding jumlah permohonan RM500,000 setahun menyebabkan mereka tidak dapat menampung kos projek untuk memberi peralatan bagi meningkatkan kualiti baka ternakan di Pahang.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Audit mengesyorkan JPVNP membuat penilaian ‘outcome’ bagi memastikan peruntukan yang dibelanjakan dapat diukur keberkesanannya bagi memastikan kelemahan yang berlaku tidak berulang dan kerajaan mendapat 'best value for money' yang dibelanjakan.

JPVNP juga disarankan untuk menambahbaik pengurusan aktiviti PBB dan perladangan PSGT, meningkatkan penyeliaan dan pemantauan secara berterusan dan lebih terperinci dalam pelaksanaan program selain memberi latihan berterusan dan bersesuaian kepada pegawai bagi meningkatkan kemahiran. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!