Syarat kelayakan penerima KISS diperketat

Dr Siti Mariah
Dr Siti Mariah
A
A
A

PUCHONG - Syarat kelayakan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) diperketatkan dengan hanya 11,000 pemohon layak menerima bantuan tersebut berbanding 39,000 penerima sebelum ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setiap pemohon perlu melepasi kelayakan dengan 18 agensi selain pelarasan dengan sistem e-Kasih dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Menurutnya, agihan bantuan bulanan sebanyak RM200 kepada kaum ibu itu boleh diakses bermula 16 Julai ini selepas proses kemas kini selesai.

"Pemohon KISS mesti bermastautin di Selangor dan menjadi pengundi di negeri ini serta tanggungan adalah berusia 21 tahun dan ke bawah.

"Selepas itu, baru kita akan semak pendapatan isi rumah mereka iaitu RM1,500 hingga RM2,000. Tidak semestinya mereka yang menerima BSH layak menerima KISS," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Mega Cari dan Musnah Aedes Selangor Peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya 2019 di Taman Puchong Utama di sini semalam.

Beliau berkata, syarat ketat itu selari dengan konsep bantuan bersasar oleh kerajaan negeri bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan itu.

"Kerajaan negeri mengesan terdapat penerima KISS sebelum ini melepasi syarat kelayakan. Ada antaranya lebih dari kemampuan mempunyai aset seperti rumah dan kereta lebih dari satu.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu mendidik supaya tiada pihak yang menyalahgunakan peruntukan kerajaan negeri dan tidak mengambil hak orang yang benar-benar memerlukan," katanya.

KISS diumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu menyandang jawatan Menteri Besar Selangor pada Bajet Selangor 2018 memperuntukkan bantuan bulanan RM200 kepada suri rumah.

Kerajaan Negeri Selangor membelanjakan RM107 juta bagi manfaat KISS sejak pelaksanaannya pada tahun 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!