Puluhan gempa susulan landa Kepulauan Maluku
JAKARTA - Kepulauan Maluku di Indonesia hari ini dilanda siri gempa susulan sehari selepas gempa kuat 7.3 magnitud menggegar timur negara itu yang turut meragut sekurang-kurangnya dua nyawa dan mencetuskan panik hingga menyebabkan ratusan yang lain terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Agus Wibowo memaklumkan terdapat 66 gempa susulan direkodkan dan sebahagian penduduk di Halmahera Selatan turut berlindung di kawasan dataran tinggi, bangunan kerajaan dan sekolah kerana bimbang dengan ancaman tsunami.
Difahamkan, pihak berkuasa tidak mengeluarkan amaran tsunami walaupun gempa itu agak kuat dan turut dirasai di Sulawesi serta Papua.
Jelas Agus, kira-kira 2,000 hilang tempat tinggal dan kira-kira 58 kediaman serta dua jambatan dilaporkan musnah.
Menurutnya, kira-kira 28,000 penduduk tinggal di zon berhampiran pusat gempa terbabit.
"Kami masih belum boleh mengesahkan jumlah kematian kerana belum mengumpulkan kesemua data. Ramai penduduk masih trauma dan takut untuk pulang ke rumah masing-masing," jelasnya.
Pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk memasuki kawasan terjejas gempa kerana lokasinya terletak di kawasan pedalaman dan turut memberi amaran angka kematian dijangka meningkat.
Agensi Meteorologi Indonesia merekodkan gempa itu pada kedalaman 10 kilometer di bahagian selatan Halmahera di Moluccas Utara.
Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas gegaran 6.6 magnitud menggegar pusat peranginan Broome di barat Australia yang turut menyebabkan goncangan kuat di beberapa bangunan.
Minggu lalu, gempa 6.9 magnitud dilaporkan menggegar wilayah Maluku Utara, namun tiada kemusnahan besar atau kematian dilaporkan. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!