Hamidah mengaku salur maklumat kepada Najib
IPOH - "Saya mengaku sayalah yang memberikan maklumat kepada Najib," demikian reaksi bekas Pengasas dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman yang mengakui memberikan maklumat berhubung penubuhan Bersatu yang diilhamkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Hamidah berkata, perkara berkenaan disuarakan Kit Siang ketika bermesyuarat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setelah deklarasi rakyat yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja gagal.
Menurutnya, pada mesyuarat berkenaan, Kit Siang mencadangkan agar sebuah parti Melayu seperti UMNO ditubuhkan supaya Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk kerajaan.
"Saya hadir pada mesyuarat dan perbincangan berkenaan dan ketika itu, Kit Siang yang cadangkan kepada Dr Mahathir tubuhkan sebuah parti Melayu macam UMNO.
"Ada lagi pemimpin lain, tapi saya tak ingat siapa, tapi saya mengaku sayalah yang salurkan maklumat.
"Berani buat, beranilah tanggung. Bukan macam Kit Siang yang menafikan apa pernah dikatakannya," katanya, di sini hari ini.
Hamidah berkata demikian bagi mengulas dakwaan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak bahawa penubuhan Bersatu adalah hasil cadangan Kit Siang.
Difahamkan, Najib mendedahkan perkara tersebut ketika berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pendang baru-baru.
Sementara itu, Hamidah berkata, dia tidak terkejut apabila Kit Siang menafikan pernah menuduh Dr Mahathir sebagai seorang yang korup.
"Saya tak terkejut. Itulah lumrah bagi Kit Siang dan PH, sebelum ini apa yang mereka cakap hari ini sewenang-wenangnya kata tak pernah, termasuklah mengatakan Dr Mahathir korup.
"Oleh itu, dalam hal ini saya kena bertanggungjawab. Bila Kit Siang nafikan, ia tidak baik sebagai pemimpin. Bila salah, minta maaf," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!