Ramai pemandu bas yang tidak berdisiplin
Dalam operasi penyamaran yang disertai 12 penguat kuasa JPJ Selangor, ramai pemandu bas ekspres dikenal pasti melakukan kesalahan.
Dalam operasi selama dua hari bermula itu sebanyak 34 kesalahan direkodkan, antara tertinggi adalah menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kanan berterusan, merokok sambil memandu, melanggar isyarat kawasan larangan memotong, memotong kenderaan lain di sebelah kiri dan tiada pemandu kedua.
Tidakkah mereka tahu, kecuaian mereka boleh menyebabkan nyawa penumpang terbunuh walaupun dalam satu saat!
Ada juga pemandu bas ekspres yang memandu secara berterusan melebihi 300 kilometer tanpa pemandu kedua. Pastinya ia boleh menyebabkan keletihan akibat tidak cukup rehat tetapi pada masa sama menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu.
Dalam keadaan letih, memandu pula dengan hanya sebelah tangan menyebabkan kenderaan yang dipandu kurang kawalan.
Bukan masalah enteng apabila seorang pemandu bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Sungai Nibong, Pulau Pinang memandu sambil menggunakan telefon bimbit. Kesalahan dikesan berlaku dari KM381 hingga KM371, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Slim River dan hanya berakhir apabila penguat kuasa JPJ meminta pemandu itu singgah di hentian terdekat untuk buang air.
Sekitar jam 2.19 petang, bas ekspres itu dipandu laju hingga 123 km/j berbanding had kelajuan dibenarkan iaitu 90km/j. Sepanjang destinasi itu kelajuan bas ekspres dicatatkan mencecah 134km/jam.
Di KM336 pula, bas dirakamkan berada di lorong paling kanan selama lebih dua minit dengan melebihi kelajuan ditetapkan walaupun pada masa berkenaan jalan basah kerana hujan.
Semua sikap buruk pemandu bas ekspres itu dikesan sewaktu ada operasi JPJ. Persoalannya bagaimana kalau tiada operasi?
Pemandu bas ekspres bertanggungjawab memastikan penumpang sampai ke destinasi dengan selamat.
Mereka beli tiket bukan untuk menghantar nyawa ke dalam gaung atau cedera parah akibat bas ekspres yang tersadai hancur atas lebuh raya dalam kemalangan!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!