Tiga beradik bergilir ponteng sekolah kerana miskin

Limah (duduk, dua dari kiri) ketika dikunjungi Jom Cakna Asnaf di rumahnya di Kampung Bukit Kechik, Gual Ipoh.
Limah (duduk, dua dari kiri) ketika dikunjungi Jom Cakna Asnaf di rumahnya di Kampung Bukit Kechik, Gual Ipoh.
A
A
A

TANAH MERAH - Disebabkan kesempitan hidup, tiga daripada empat beradik di Kampung Bukit Kechik, Gual Ipoh terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah berikutan tidak mampu menyediakan wang belanja mencukupi.

Perkara tersebut diluahkan Limah Loman, 68, yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga setelah ibu bapa kepada empat cucunya itu berpisah dan membawa haluan hidup masing-masing.

Apa yang menyedihkan, warga emas berkenaan kini bergantung harap pada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan untuk perbelanjaan sekolah serta kelengkapan lain, namun masih belum mencukupi.

Cucu Limah, berusia antara 6 hingga 13 tahun dan salah seorangnya merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam yang tidak pandai menguruskan diri sendiri, malah perlu dipakaikan lampin pakai buang setiap masa.

"Saya tak tahu lagi ke mana nak mengadu nasib. Apa yang saya harapkan nasib cucu-cucu terbela sebab mereka tak ada tempat bergantung dan hanya harapkan saya jaga mereka.

"Kadang-kadang terdetik juga di hati, bagaimanalah nasib mereka kalau saya pergi mengadap llahi," katanya sebak.

Limah ditemui ketika kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Jom Cakna Asnaf, Penghulu dan Ketua Kebajikan Pas di rumahnya kelmarin.

Dalam kunjungan itu, keluarga terbabit turut menerima sumbangan barangan dapur untuk keperluan semasa keluarga itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Limah lagi, buat masa ini dia perlu memberi sepenuh perhatian kepada cucunya yang OKU itu.

"Harapan saya agar ada sinar baru untuk mereka dan dapat teruskan sekolah macam biasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!