Pegawai polis mengaku tak salah peras ugut doktor
PETALING JAYA - Seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan memeras ugut seorang doktor, untuk menyerahkan wang RM65,200, empat tahun lepas.
Tertuduh K. K. Ravindharan, 47, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abd Salim.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan pemerasan terhadap Dr S.Sivakumar, 43, dengan memaksanya menyerahkan wang berjumlah RM65,200 di sebuah rumah di Bandar Utama, di sini, antara Januari 2015 sehingga September 2016.
Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman itu, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa P.Vitiya Monisha menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-kedua pertuduhan itu, bagaimanapun peguam Zaid Malik yang mewakili tertuduh, memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga dan mengalami masalah ligamen terkoyak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes.
Tertuduh hadir dengan memakai tongkat ketiak (topong) bagi membantunya berjalan berikutan kecederaan yang dialami itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!