Tiga rakan berkas penjenayah dapat penghargaan polis

Ahmad Adnan bersama tiga rakan karib, dari kiri: Abdul Rahim, Nurnazhar dan Muhammad Dannial yang menerima surat penghargaan polis hari ini.
Ahmad Adnan bersama tiga rakan karib, dari kiri: Abdul Rahim, Nurnazhar dan Muhammad Dannial yang menerima surat penghargaan polis hari ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Sikap cakna dan prihatin tiga rakan karib yang berjaya memberkas seorang penjenayah memecah masuk sebuah poliklinik dan pasar raya di Lebuh Dewangsa, bulan lalu mendapat penghargaan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

Dalam kejadian itu, Abdul Rahim Abd Manap, 28, bersama dua rakan Nurnazhar Masiran, 29, dan Muhammad Dannial Dzulkifli Mahmud, 24, menaiki sebuah kereta sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menghimpit motosikal suspek yang ditunggang melawan arus sebelum berjaya menangkapnya.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, keberanian tiga lelaki itu berjaya menahan seorang daripada dua suspek yang terlibat.

"Dalam kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu, tiga lelaki terbabit telah melihat dua suspek berada dalam keadaan mencurigakan dengan seorang baru sahaja keluar dari pasar raya dan seorang lagi berada di atas motosikal, mereka kemudiannya memecah masuk sebuah poliklinik.

"Melihat keadaan itu, tiga rakan terbabit cuba menahan suspek, namun mereka melarikan diri dengan menunggang melawan arus sebelum berjaya dikejar, seorang daripada mereka berjaya ditahan sementara seorang lagi melarikan diri," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek berusia 25 tahun itu memiliki 10 rekod lampau kesalahan jenayah termasuk kes pukul dan ugut serta dadah.

"Suspek dalam kes ini telahpun menjalani hukuman penjara selama 16 bulan," katanya.

Surat penghargaan kepada tiga lelaki terbabit disampaikan sempena Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Taat Setia Peringkat IPD Batu Gajah hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Adnan berkata, pengiktirafan diberikan itu merupakan sebahagian usaha polis dalam menghargai kerjasama orang awam membantu pihak berkuasa memerangi jenayah.

"Dalam kes ini, mereka yang menyedari kejadian pecah masuk mengambil inisiatif mengejar suspek hingga tertangkap.

"Ini selari dengan tema 'Polis dan masyarakat berpisah tiada'," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!