Anak pekerja gudang, tukang cuci terima anugerah khas

Nur Hayati (tengah) bergambar bersama ibu dan bapanya selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Tan Sri Rozali Ismail sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 PSIS semalam.
Nur Hayati (tengah) bergambar bersama ibu dan bapanya selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Tan Sri Rozali Ismail sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 PSIS semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang anak pekerja gudang dan tukang cuci dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Tan Sri Rozali Ismail sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), di sini semalam.

Nur Hayati Mualim, 25, berkata, kesusahan kedua ibu bapanya mendorongnya lebih bersemangat dan belajar secara konsisten serta penuh kesungguhan.

Nur Hayati yang merupakan penuntut Diploma Kejuruteraan Awam PSIS berkata, dia tekad mengubah kehidupan keluarga ke arah lebih baik pada masa depan.

"Pekerjaan mak dan ayah sedikit pun tak melunturkan semangat saya berjuang untuk dapatkan kejayaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 473 graduan diraikan membabitkan 162 graduan Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Perdagangan (116 ), Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (120) serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (75) sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 PSIS di sini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, kejayaan yang dikecapi itu hasil daripada sokongan ahli keluarga yang tidak pernah putus memberikan galakan dan kata-kata semangat.

"Keluarga saya bukan orang senang. Setiap hari, mak dan ayah bertungkus-lumus banting tulang empat kerat sara kami adik-beradik demi mendapatkan pendidikan sempurna.

"Alhamdulillah, saya berjaya sambung pelajaran di PSIS dan kemudian di sini saya pernah diberi kepercayaan menjadi wakil PSIS bagi Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Tawau, Sabah pada Julai 2016, ” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nur Hayati yang berasal dari Batu 6 Setengah Gombak ketika ini bekerja sebagai perintis penyelia keselamatan di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Katanya, peluang menyambung pengajian di PSIS memberinya pengalaman berharga dalam kehidupannya.

“Tambahan pula, ilmu yang diperoleh ini tidak akan dipersiakan dan berharap menjadi contoh kepada penuntut baharu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!