Sasaran 100,000 RMBJ masih jauh untuk dicapai
JOHOR BAHRU - Laporan Ketua Audit Negara 2018 bagi Johor Siri 1 merumuskan objektif pengurusan Perumahan Rakyat Johor (PRJ) masih belum dapat dicapai sepenuhnya.
Menurut laporan tersebut, terdapat kelemahan daripada prestasi pembinaan PRJ, yang menjadikan sasaran 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) atau kini dikenali Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) menjelang 2023, jauh untuk dicapai.
"Pengauditan yang telah dilaksanakan antara November hingga Februari 2019 merumuskan objektif pengurusan PRJ masih belum dapat dicapai sepenuhnya.
"Terdapat kelemahan daripada prestasi pembinaan PRJ di mana dalam tempoh lima tahun secara purata komponen RMMJ yang dapat dibina sebanyak 1,960 unit sahaja setahun menjadikan sasaran pembinaan RMMJ sebanyak 100,000 unit menjelang tahun 2023 masih jauh untuk dicapai," menurut laporan itu yang dikeluarkan semalam.
Laporan tersebut turut menggariskan beberapa penemuan utama yang perlu diberikan perhatian oleh Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Malah, bagi menambah baik pelaksanaan pengurusan PRJ, SUKJ Bahagian Perumahan dan PTG disyorkan mempertimbangkan beberapa perkara antaranya menetapkan sasaran unit PRJ secara tahunan agar matlamat 2023 dapat dicapai, meningkatkan pemantauan terhadap bilangan PRJ yang dibina dan ditawarkan, memastikan pengagihan kuota lebih adil dan seimbang dengan menambah baik sistem yang sedia ada dengan mengambil kira tempoh permohonan, gaji dan bilangan isi rumah.
Selain itu, SUKJ dan PTG juga disyorkan membuat dasar atau polisi penjualan rumah yang lebih memihak kepada pembeli kerana terdapat beberapa projek terbengkalai dan belum dibina walaupun perjanjian jual beli telah ditandatangani.
Syor lain adalah menetapkan had maksimum bagi rayuan pengurangan caj penalti, menetapkan kadar bayaran penalti kepada pemaju yang enggan membina PRJ dengan kadar lebih relevan dengan mengambil kira beberapa faktor seperti kos sebenar pembinaan rumah tersebut serta memastikan perbelanjaan daripada Akaun Amanah menepati tujuan ia diwujudkan khususnya pembinaan PRJ.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!