PM NZ kutuk komen rasis Trump
WELLINGTON - Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengutuk komen berbaur rasis oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap empat anggota Kongres Wanita AS.
Trump memuat naik komen rasis dan bersifat ‘xenofobia’ di laman Twitter dengan 'menyerang' empat anggota Kongres Demokrat Wanita termasuk Alexandria Ocasio-Cortez dari New York, Ilhan Omar dari Minnesota, Rashida Tlaib dari Michigan dan Ayanna Pressley dari Massachusetts.
Keempat-empat anggota kongres terbabit yang mewakili pelbagai latar belakang berbeza merupakan antara anggota yang lantang bersuara sejak menyertai Dewan Perwakilan.
Trump yang mendakwa mereka berasal dari 'negara dengan kerajaan yang kucar-kacir' mencadangkan agar anggota kongres berkenaan pulang ke tempat asal selain menuduh mereka membenci AS.
Bercakap kepada Morning Report, Ardern yang tidak bersetuju dengan Trump berkata, tiada tempat untuk komen sedemikian di New Zealand.
"Saya tidak mencampuri urusan politik orang lain namun adalah jelas saya amat tidak bersetuju dengan beliau (Trump).
"Saya berbangga kerana New Zealand mempunyai pandangan berbeza, Parlimen kami harus mencerminkan wajah New Zealand dengan pelbagai latar belakang budaya dan etnik dan asal usul seseorang tidak harus dipertikaikan, begitu juga hak mereka untuk berada di Parlimen sebagai perwakilan.
"Kita seharusnya meraikan diversiti dan itu yang kami lakukan di New Zealand dan adalah amat jelas saya mempunyai pandangan berbeza dengan Presiden Trump," kata Ardern. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!