Singapura digesa tarik balik tuduhan terhadap Surendran
SHAH ALAM - Lawyers For Liberty (LFL) menggesa kerajaan Singapura untuk menarik balik tuduhan tidak berasas serta ancaman yang dibuat ke atas N Surendran yang mewakili tahanan rakyat Malaysia, Pannir Selvam yang dijatuhkan hukuman mati di negara itu.
Pengarah LFL, Melissa Sasidaran berkata, Pannir dijadual menjalani hukuman mati atas kesalahan dadah pada 24 Mei lalu, namun mendapat penangguhan hukuman di saat-saat akhir dari Mahkamah Singapura sehari sebelumnya dan sesi pendengaran akan berlangsung 19 Julai ini.
Beliau berkata, bagaimanapun menerusi satu surat pada 12 Julai lalu, Pejabat Peguam Negara Singapura telah menuduh Surendran membuat dakwaan-dakwaan mencurigakan terhadap negara itu dan sistem perundangannya termasuk menuduh Singapura bertindak secara tidak seimbang terhadap norma undang-undang antarabangsa dan pendapat dunia yang baik.
Menurut Melissa, tuduhan ke atas Surendran itu dilihat sebagai satu ancaman yang serius, malah Singapura juga terkenal kerana menghina mahkamah atau dakwaan fitnah jenayah terhadap pengkritiknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Rayuan Singapura tangguh hukuman mati Pannir Selvam
Katanya, sebelum ini terdapat seorang penulis British, Alan Shadrake yang didakwa dan dipenjarakan pada 2011 kerana membuat kenyataan berkaitan hukuman mati di Singapura.
"Ancaman terhadap Surendran ini adalah campurtangan yang menyalahi undang-undang oleh Singapura, tambah lagi tahanan yang dijatuhkan hukuman mati mempunyai hak untuk mendapatkan nasihat dan bantuan undang-undang.
"Selain Pannir, Surendran turut mewakili beberapa rakyat Malaysia yang ditahan dan dihukum mati di negara itu kerana menjadi keldai dadah seperti K Datchinamurthy dan A Gobi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mengikut Perkara 9 Perlembagaan Singapura, setiap orang berhak mendapat perbicaraan yang adil merangkumi hak untuk nasihat dan perwakilan undang-undang.
"Ancaman terhadap Surendran adalah kerana melanggar undang-undang dan Perlembagaan Singapura sendiri. Ini boleh dikira sebagai cubaan untuk mensabotaj pasukan undang-undang yang mewakili Pannir serta menghalang bantuan undang-undang dari Malaysia untuk tahanan Malaysia yang lain.
"Dengan berbuat demikian, Singapura juga melanggar undang-undang dan piawaian antarabangsa; hak untuk diberikan bantuan undang-undang adalah termaktub dalam artikel 14(3)(d) Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR)," katanya.
Melissa berkata, LFL berharap kerajaan Malaysia juga dapat mengambil tindakan terhdap perkara itu supaya rakyat Malaysia yang menghadapi pertuduhan di Singapura tidak kehilangan hak untuk mendapatkan nasihat atau bantuan undang-undang.
Minggu lalu, seramai empat 'keldai dadah' rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Changi disasarkan untuk pelaksanaan hukuman mati selepas petisyen mereka ditolak. Kerajaan Singapura perlu membenarkan mereka mendapatkan nasihat serta bantuan undang-undang tanpa ancaman atau gangguan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!