Sarawak harap peroleh teknologi pertanian baharu dari NZ

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Datuk Amar Douglas Uggah Embas
A
A
A

KUCHING - Sarawak berharap akan memperoleh beberapa teknologi relevan dalam pembangunan pertanian dari New Zealand bagi mentransformasikan sektor pertanian di negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah, kini sedang mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam rangka lawatan seminggu ke New Zealand.

"Kami amat mengagumi pembangunan anda. Kami berharap dapat mempelajari laluan yang telah diambil New Zealand dalam membangunkan sektor pertaniannya sehingga menjadi pengeluar dan pengeksport terkemuka lembu, kambing biri-biri dan keluaran tenusu ke seluruh dunia," katanya sempena lawatan beliau ke Kementerian Industri Utama New Zealand di Wellington hari ini.

Delegasi tersebut disambut oleh timbalan ketua pengarah kementerian, Perry Nelson setibanya mereka di pejabat kementerian itu dan diberi taklimat mengenai pembangunan pertanian New Zealand, termasuk prestasi eksportnya dan mengenai penyertaan kaum Maori dalam industri berkenaan.

Kaum Maori, yang terdiri daripada 98 suku kaum yang berbeza, memiliki 1.5 juta hektar tanah atau lima peratus daripada seluruh keluasan tanah di New Zealand.

Menurut Nelson, New Zealand mempunyai penduduk seramai 4.9 juta orang, bagaimanapun petani dan penanamnya membekalkan makanan untuk 40 juta orang penduduk di seluruh dunia.

Kira-kira 350,000 orang atau 16 peratus daripada penduduk bekerja dalam sektor itu.

Beliau turut mendedahkan satu fakta menarik, iaitu rakyat Malaysia memiliki 52 outlet makanan di New Zealand, yang merupakan jumlah terbesar yang dimiliki oleh bukan warganegara New Zealand di negara itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Malaysia adalah rakan dagangan ke-11 terbesar bagi New Zealand dan import terbesarnya dari Malaysia adalah minyak kelapa sawit dan makanan ternakan berasaskan sawit dan baja yang kebanyakannya digunakan oleh sektor utamanya.

Di pihak lain, eksportnya ke Malaysia adalah kambing biri-biri, daging lembu, keju, mentega dan susu tepung.

Pada tahun lepas, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai RM8.25 bilion atau NZ$3 bilion. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!