Kurangkan pengajaran Pendidikan Islam langkah terkebelakang

Mohd Azizee Hasan
Mohd Azizee Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah mengurangkan masa pengajaran subjek Pendidikan Islam di sekolah adalah langkah mundur dan dibimbangi akan menjejaskan kualiti penghayatan agama Islam yang sebenar.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGURU), Mohd Azizee Hasan berkata, natijahnya anak-anak Melayu yang beragama Islam menerima kesannya.

Menurutnya, iGuru melihat penekanan subjek Pendidikan Islam perlu diberi keutamaan kerana generasi hari ini terdedah dengan pelbagai risiko masalah disiplin dan kelunturan akhlak.

“Kurikulum Pendidikan Islam sedia ada perlu diperkasakan di peringkat sekolah rendah lagi dengan orientasi menekankan aspek amali dari teori.

“Ini kerana waktu pengajaran yang sedia ada hanya enam masa yang memakan masa tiga jam seminggu tidak cukup untuk membina keperibadian dan jati diri murid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, iGuru mencadangkan jawatankuasa semakan semula kurikulum Pendidikan Islam ditubuhkan supaya ia dapat membina kualiti murid yang akan mendorongnya menguasai ilmu-ilmu dalam bidang lain.

“iGuru bersetuju kurikulum Pendidikan Islam perlu dimantapkan dengan elemen yang mampu membangunkan karektor dan menyiapkan mereka untuk mendepani cabaran IR 4.0 (Revolusi Industri).

“Dengan olahan yang lebih dinamik dan berdaya saing serta kemahiran yang diperlukan untuk pasaran masa depan tanpa mengabaikan aspek keagamaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, penekanan subjek tersebut sudah termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1952 yang menggariskan hak murid Islam untuk mendapat pendidikan agama.

Malah, ia diperkukuhkan semula dalam Ordinan Pelajaran 1957 yang mewajibkan sekolah yang mempunyai bilangan murid seramai 15 orang wajib diajar pelajaran agama.

“iGuru menyangkal kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama.

“Kami berpandangan kenyataan ini boleh menimbulkan persepsi negatif dan prejudis masyarakat terhadap Pendidikan Islam yang di ajar di sekolah-sekolah kebangsaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!