Belia kini dewasa lebih awal: Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed memegang poster 'Belia18-20 tahun berhak untuk mengundi' di Parlimen hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed memegang poster 'Belia18-20 tahun berhak untuk mengundi' di Parlimen hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan belia zaman ini disifatkan sesuai untuk mengundi pada usia 18 tahun kerana mereka berfikiran dewasa lebih awal, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, keadaan itu disebabkan faktor persekitaran yang lebih terbuka berbanding zaman sebelumnya.

"Zaman saya dulu, umur 20 tahun tidak ke mana-mana, duduk di Alor Setar saja tak tahu apa jadi. Berita pun tak cukup, radio sikit saja laporan, televisyen tiada.

"Sekarang ini informasi boleh didapati dengan banyak. Mereka boleh baca buku, tengok wayang, laman web dan macam-macam lagi untuk dapat pengetahuan yang lebih.

"Biasanya mereka juga berjalan ke negara lain. Dengan itu minda mereka lebih terbuka dan dewasa lebih awal, sebab itu kita turunkan umur mengundi kepada 18 tahun," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya satu alasan paling kukuh mengapa belia 18 tahun perlu dibenarkan mengundi.

Terdahulu, Dr Mahathir membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk bacaan kali kedua di Parlimen hari ini.

Pembentangan kedua hari ini melibatkan RUU bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir ketika sesi pembentangan berkata, hampir kebanyakan negara telah menurunkan had umur mengundi bagi rakyat mereka.

Sebelum itu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang dibentangkan pada 4 Julai ditarik balik minggu lalu sebelum ia dibentangkan semula dengan mengambil kira cadangan pembangkang pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Seramai 58 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang akan membahaskan usul ini sebelum ia diluluskan Parlimen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!