Halang parti gagal tunai janji manifesto tanding pilihan raya
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diberi kuasa lebih termasuklah melarang mana-mana parti politik yang didapati melanggar janji manifesto daripada bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang mengetengahkan perkara itu berkata, cadangan itu dibuatnya supaya rakyat tidak lagi ditipu khususnya orang muda yang menyokong parti politik yang membuat pelbagai janji, sebaliknya tidak menunaikannya setelah memenangi pilihan raya.
“Kita harus pertingkatkan akauntabiliti parti-parti yang bertanding kerana apabila yang mengundi nanti pada usia muda mereka mudah sekali dipengaruhi, maka parti-parti yang mengeluarkan manifesto yang mereka akhirnya tidak dipertanggungjawabkan mereka cuba memancing anak-anak muda dengan janji-janji yang palsu kemudian tidak melaksanakan janji.
“Adakah YB setuju kita juga patut undang-undangkan bahawa manifesto yang didaftar dengan SPR semasa pilihan raya kalau tidak ditunaikan, parti itu mesti bertanggungjawab dan tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya berikutnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Annuar berkata demikian ketika bangkit mencelah perbahasan Ismail Sabri (BN-Bera) berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.
Dalam perbahasannya, Ismail menyatakan persetujuan dengan cadangan Annuar sambil memaklumkan SPR perlu bertindak bebas dan bukannya mengikut telunjuk kerajaan yang memerintah.
“Selain daripada hak mengundi diturunkan, keadilan dan kebebasan sewaktu mengundi juga perlu ditekankan, SPR mesti memainkan peranan untuk memastikan pilihan raya bebas dan pengundi juga bebas dari tekanan pihak tertentu termasuk tekanan kerajaan.
“Sebagai contoh apa yang berlaku di beberapa PRK di Cameron Highland, walaupun melanggar kesalahan pilihan raya yang dilakukan pihak kerajaan, tapi tiada tindakan, calon pakai baju ada lambang, pemberian duit minyak, penggunaan jentera kerajaan dan sebagainya,” katanya.
Ismail juga turut menegur sikap NGO Bersih yang didakwa berat sebelah apabila tidak bertindak seperti mana zaman Barisan Nasional (BN) menentang kerajaan sejak di bawah Pakatan Harapan (PH).
“Bersih memang tak bersih, dulu mereka berarak dengan baju kuning menuduh kepada kita, apabila berlaku kepada kerajaan hari ini tidak ada perarakan baju kuning, tiada kenyataan mengutuk tindakan, kesalahan dilakukan kerajaan,” katanya.
Ismail turut mencadangkan supaya kerajaan memberikan penekanan kepada subjek politik di sekolah supaya pelajar memahami proses demokrasi selaras dengan usaha menurunkan had umur mengundi.
“Saya cadang pendidikan politik dan demokrasi harus diberi penekanan di peringkat sekolah, dan ia telahpun dilaksanakan di negara-negara luar termasuk Indonesia,” kata ketua pembangkang itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!