Aliff Syukri doa keajaiban buat Fizo, Mawar
MESKIPUN pasangan Fizo Omar dan Mawar Abd Karim telah bercerai secara rasmi, namun masih ada yang seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan itu. Bukan sahaja para peminat, malah di kalangan rakan artis juga.
Salah seorang di antara mereka ialah usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri yang mengakui masih terkejut dengan berita perpisahan Fizo dan Mawar kerana beliau berkawan baik dengan pasangan tersebut.
Perkara itu dikongsi Aliff Syukri menerusi sebuah entri yang memaparkan video perbualannya bersama Fizo di akaun Instagram (IG) miliknya.
Dalam video tersebut, Aliff Syukri meluahkan rasa sedih dan bertanyakan Fizo bagaimana pelakon itu berhadapan dengan situasi tersebut.
"Fizo, sebenarnya apabila saya dengar berita awak, saya rasa luluh. Saya ini kahwin juga, saya ada anak, apa punca kekuatan awak?" tanyanya.
Bagaimanapun Fizo menjawab pertanyaan Aliff Syukri itu dengan tenang.
"Saya percaya tak berlakunya sesuatu perkara tanpa izin ALLAH. Kita sebagai manusia ini dah ikhtiar macam-macam dan sudah fikir yang terbaik. Kalau orang kata kasihan dekat anak saya (Che Yam), saya lagilah rasa perasaan itu seribu kali ganda daripada orang yang melihat (sebab) saya yang memikul.
"Sudah tentu kita sudah fikir macam-macam yang terbaik. Saya fikir isteri, saya fikir Che Yam, saya fikir keluarga saya, keluarga dia, saya fikir semua orang. Sebab ramai orang yang menangis dan bersedih dan saya jumpa semua orang juga berperasaan yang sama.
"Dalam hidup ini, peristiwa itu sudah ditetapkan, memang tidak boleh ubah. Apa-apa jadi, itu takdir. Tapi, tindakan bergantung kepada kita. Jadi peristiwa dan tindakan yang menentukan hasilnya keputusan.
"Peristiwa negatif tindakan kita positif, keputusannya positif. Insya-ALLAH akan jadi positif. Apa yang berlaku dalam hidup kita ini, ALLAH bagi dan ALLAH izinkan untuk kebaikan kita," jawabnya.
Sementara itu, Aliff Syukri turut menulis kapsyen di IG.
"Saya masih tak boleh terima berita ini. Dia seorang sahabat yang baik dan abang yang baik kepada keluarga. Harap ada keajaiban akan berlaku semoga ada penyatuan semula jodoh yang baik untuk pasangan ini, amin," tulisnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen meninggalkan respon positif dan turut berharap agar Fizo dan Mawar bersatu kembali.
Terdahulu, Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.
Namun rumah tangga mereka menemui titik noktah apabila Fizo melafazkan talak satu terhadap Mawar pada 10 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Fizo terkilan ibu dikaitkan dengan perceraian
Fizo, Mawar sah cerai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!