Dua pekerja cemas gondola dinaiki tersangkut di tingkat 31
KUALA LUMPUR - Dua pekerja penyelenggaraan bangunan berdepan detik cemas apabila gondola yang dinaiki mereka tersangkut di luar bangunan Hotel Four Seasons dalam kejadian hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu melalui talian kecemasan sekitar jam 12.12 tengah hari tadi dan jentera penyelamat bergegas ke lokasi serta-merta bagi membantu mangsa terlibat.
Katanya, sejurus tiba, anggota mendapati terdapat dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun sedang berada di dalam gondola berkenaan yang tersangkut di tingkat 31 bangunan terbabit.
"Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dari Unit High Rise (HRRT) dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.52 petang," katanya.
Tambah kenyataan itu, pihak bomba juga dimaklumkan kejadian berkenaan mungkin berlaku disebabkan masalah teknikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!