Penempatan aset strategik mampu kawal nelayan asing ceroboh
KUANTAN - Penempatan aset-aset strategik milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan negara perlu dilakukan kerajaan dalam usaha memerangi pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, perkara itu sentiasa dibincangkan dan akan terus dibawa di peringkat mesyuarat Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sememangnya ada keperluan untuk kita menempatkan aset-aset milik TLDM di perairan Laut China Selatan bagi mengawal pencerobohan nelayan asing,” katanya pada sidang akhbar khas sempena Eksesais Kerismas 26/2019 dan Eksesais Taming Sari siri 19/2019 di Markas Wilayah Laut 1 Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini hari ini.
Turut hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.
Mohamad berkata, isu pencerobohan nelayan asing menjadi tajuk utama yang sentiasa dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).
“Kita juga akan ke Vietnam tidak lama lagi. Kita akan utarakan soal maritim, kehilangan khazanah di Laut China Selatan dan zon ekonomi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!