Kira-kira 240,500 saman tertunggak warga asing
KUALA LUMPUR - Kira-kira 240,501 saman trafik tertunggak membabitkan warga asing dengan jumlah mencecah puluhan jutaan ringgit yang dicatatkan bagi tempoh lima tahun lepas (2014- 2018), kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.
Tanpa mendedahkan nilai sebenar saman tertunggak itu, beliau berkata daripada jumlah itu, warga Singapura merekodkan jumlah tertinggi saman tertunggak membabitkan 136,601 saman dan yang paling banyak melakukan kesalahan jalan raya kerana mereka yang paling banyak keluar masuk ke negara ini.
Ini diikuti warga Brunei dengan 40,101 saman tertunggak dan Thailand (24,651 saman tertunggak).
"Saya akan berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kementerian Pengangkutan bagi menetapkan polisi mengambil tindakan terhadap warga asing yang membuat kesalahan di negara ini seperti yang dilaksanakan Singapura yang tidak membenarkan kenderaan Malaysia masuk jika masih mempunyai saman tertunggak.
"Saman tertunggak itu melibatkan pelbagai kesalahan seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat dan tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya pada sidang media mengenai laporan prestasi setengah tahun dan op saman tertunggak warga asing (Ostwa IX) di Bukit Aman di sini.
Sementara itu, RM291,190 kutipan kompaun diperoleh menerusi op saman Ostwa IX di Zon Utara di empat lokasi yang bersempadan dengan Thailand seperti di CIQ Bukit Kayu Hitam, Balai Polis Kota Putra, Durian Burung, Padang Terap di Kedah; CIQ Padang Besar, Perlis dan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Pengkalan Hulu, Perak pada 12-14 Julai lepas. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!