Bossku penyelamat atau penghancur?

A
A
A

BOSSKU penyelamat atau penghancur?Maaflah, Awang makin pening dengan politik UMNO dan BN. Awang betul-betul tak faham mengapa BN lantik Bossku Tuk Seri Najib jadi Pengerusi Lembaga Penasihat parti itu.

Orang yang menjadi punca utama kekalahan UMNO dan BN dilantik ke jawatan itu? Nak selamatkan ke atau nak menghancurkan?

Rakyat belum lupa apa yang Bossku Tuk Seri Najib buat pada negara. Demi nak selamatkan anak tirinya dan peniaga muda bernama Jho Low, dia dituduh menyalahgunakan wang negara. Bukan sikit duit yang terlibat. Tak cukup dengan itu dia juga dituduh menggunakan duit beberapa institusi amanah. Kita semua tahu apa yang berlaku dalam pilihan raya yang lepas. Setelah memerintah selama lebih 60 tahun UMNO dan BN tersungkur. Tak payahlah Awang nak cerita lebih panjang.

Banyak pula cerita lain tentang isteri, keluarga dan kroninya. Dulu mediang Imelda Marcos ada 1,000 pasang kasut. Datin Seri isteri Bossku ada jenama beg tangan yang mahal beratus-ratus kotak. Dia buat Imelda setaraf penerima BR1M saja.

Orang macam inikah yang nak memulihkan BN dan UMNO? Kata Tuk Seri Ku Nan, Bossku Tuk Seri Najib akan bantu kembalikan sokongan rakyat pada UMNO dan BN. Tuk Seri Ku Nan pun kena dakwa macam-macam kes juga. Begitu juga Presiden UMNO sekarang yang pecah rekod dengan kes dakwaan terbanyak di Malaysia.

Agaknya masing-masing nak selamatkan satu sama lain. Kesian UMNO dan BN. Kesian Tuk Seri Mohamad Hasan.

Pi mai pi PSV juga Awang nak komen sikit pasal keputusan Kementerian Pengangkutan kerahkan pemandu kereta syarikat e-hailing mengambil Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Pemandu e-hailing ini bukan semua sepenuh masa, ada yang cari makan tambahan sebab ekonomi sekarang bukan baik sangat.

Artikel Berkaitan:

Memang banyak yang bawa Grab dan kereta syarikat lain secara sambilan. Mereka bukan bawa teksi. Kita tahu mengapa rakyat sambut kehadiran syarikat e-hailing ini. Punca ialah kerana perangai pemandu teksi yang sombong dan tak prihatin. Memang bukan semua tapi kita tahu banyak pemandu teksi tak hargai penumpang mereka.Khabarnya dah ada 31 syarikat e-hailing di Malaysia. Baguslah, makin banyak makin kuat bersaing. Persaingan mengurangkan harga dan beban pengguna.

Oleh sebab itu Awang benci monopoli, monopoli apapun – beras, tenaga, sebut sahajalah. Awang juga terbaca lebih 22,000 pemandu e-hailing sudah dapat lesen PSV. Khabarnya banyak lagi yang belum. Awang cuma nak tahu, untuk apa lesen PSV itu? Saja nak buat duit untuk JPJ ke? Atau ada muslihat lain?

Minggu lepas Tuk Menteri Anthony Loke buat sidang media bagi tahu bahawa pemandu yang belum dapat PSV boleh dapatkan dalam masa tiga bulan. Dia buat U-turn atau pusingan U. Awang pun naik pening.

Kalau buat dasar biarlah fikir masak-masak dulu. Fikir semua implikasinya. Jangan sekadar buat, bila rakyat bising, buat pusingan U.

Awang fikir kementerian patut fikir balik pelaksanaan dasar PSV ini. Tidak ada keperluan apapun sebenarnya. Tak semua pemandu mampu dan ada masa.

Macam Awang kata, inilah cara terbaik untuk tambah pendapatan bagi rakyat. Yang bawa kereta e-hailing ramai juga kakitangan kerajaan dan pelajar.

Jikalau tindakan ini diambil semata-mata atas desakan pemandu teksi, Awang rasa tindakan itu tak betul. Awang fikir ada cara lain untuk memastikan pemandu syarikat e-hailing lebih berdisiplin daripada pemandu teksi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!