Tambahan 13 kerusi DUN Sabah dijangka dibentang di Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR - Usul tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bagi mendapat persetujuan ahli Parlimen.
Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat, draf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) 2019 bersama laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Kajian Semula Persempadanan itu, dijangka dibentang selepas selesai sesi soal jawab lisan.
Pada 9 Ogos 2016, DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 73, berbanding 60 ketika ini.
Laporan SPR tersebut telah diserahkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2017, namun ia tidak diusul untuk pembentangan pada persidangan Parlimen ke-13 yang lalu.
Berdasarkan persempadanan baharu itu, 13 kerusi tambahan yang dicadangkan ialah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini dilaporkan yakin tambahan 13 kerusi DUN Sabah itu akan mendapat kelulusan di Parlimen yang hanya memerlukan majoriti mudah dan bukan dua pertiga kerana tidak membabitkan pindaan perlembagaan.
Dalam pada itu, isu lain berkaitan Sabah dan Sarawak turut dibangkitkan ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula pada 10 pagi ini.
Antaranya melibatkan pertanyaan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) mengenai Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Willie anak Mongin (PH-Puncak Borneo) yang ingin tahu langkah kerajaan memperkasakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) supaya memanfaatkan lebih banyak usahawan dari Sabah dan Sarawak.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!