Peruntukan RM1 juta konsultasi bina Pasar Awam Pasir Pinji

Zuraida (kiri) ketika meninjau keadaan Pasar Awam Pasir Pinji, hari ini.
Zuraida (kiri) ketika meninjau keadaan Pasar Awam Pasir Pinji, hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan awal RM1 juta bagi konsultasi untuk membina semula Pasar Awam Pasir Pinji.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kos keseluruhan pembinaan pasar awam tersebut dianggarkan RM11 juta.

Beliau berkata, pembinaan pasar baharu yang berkonsepkan moden itu dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

"Saya harap dengan adanya pembinaan pasar baru di Pasir Pinji ini akan memudahkan urusan membeli barang. Nampak lebih teratur dan bersih. Konsep yang dicadangkan itu lebih teratur dan tersusun.

"Namun, cadangan pembinaan parkir bawah tanah menyebabkan kosnya agak tinggi. Kita akan fikirkan bagaimana untuk jimatkan kos," katanya kepada pemberita selepas turun padang melawat Pasar Awam Pasir Pinji sedia ada, di sini hari ini.

Hadir sama turun padang, Exco Kerajaan Perak merangkap ADUN Pasir Pinji, Howard Lee; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria.

Zuraida berkata, pembinaan semula pasar awam tersebut wajar dilakukan memandangkan keadaan pasar yang sudah uzur.

Katanya, pihak kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan Perak dan MBI untuk memastikan pembinaan semula pasar tersebut direalisasikan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Howard mengambil inisiatif mengadakan referendum bagi mendapatkan pandangan masyarakat setempat terhadap cadangan pembinaan semula pasar tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!