iMoney lancar CreditScore iMoney dalam versi Bahasa Melayu

Mitul Lakhani
Mitul Lakhani
A
A
A
iMoney melancarkan alat skor kredit, CreditScore iMoney di dalam versi Bahasa Melayu secara percuma bersempena kempen #JomSkor digital yang bermula sekarang sehingga akhir Ogos 2019.

Versi Bahasa Melayu dan kempen #JomSkor itu bertujuan memudahkan lebih ramai rakyat menyemak skor kredit dan mengambil langkah sewajarnya dalam meningkatkan kesihatan kewangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iMoney, Mitul Lakhani berkata, walaupun pihaknya menyaksikan pertumbuhan ketara dalam pendaftaran CreditScore iMoney sejak pelancarannya pada akhir tahun 2018, namun iMoney masih melihat peluang dan keperluan untuk meluaskan jangkauan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menyemak skor kredit dan kesihatan kewangan mereka.

"Data kami menunjukkan lebih banyak usaha diperlukan untuk membantu rakyat dalam mengawal kewangan mereka dan membuat keputusan kewangan yang bijak.

"Melalui kempen #JomSkor dan alat CreditScore, kami berhasrat meluaskan jangkauan kepada lebih ramai rakyat dengan matlamat mahu lebih ramai rakyat mendaftar dan mendapatkan skor kredit dalam membuat keputusan bijak berkaitan hal kewangan,” katanya pada majlis pelancaran CreditScore iMoney dalam versi Bahasa Melayu dan kempen #JomSkor digital di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Alat CreditScore iMoney boleh didapati dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang menawarkan pengguna dengan gambaran ringkas mengenai kedudukan kewangan secara percuma.

Pelancaran kempen #JomSkor dan alat CreditScore versi Bahasa Malaysia itu merupakan tindak balas iMoney terhadap keadaan kesihatan kewangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RAMCI, Dawn Lai berkata, pihaknya melihat trend positif apabila rakyat mula memahami betapa pentingnya skor kredit dan bagaimana skor kredit yang konsisten dan kukuh boleh membawa kepada kadar faedah yang lebih rendah untuk pinjaman masa depan.

"Untuk menggalakkan pertumbuhan dalam pengetahuan kewangan, program pendidikan dan kesedaran perlu ditingkatkan. Kami percaya inisiatif sedemikian akan banyak membantu orang ramai memahami kerumitan dalam menguruskan kredit mereka dengan baik,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Maklumat lanjut mengenai laporan CreditScore iMoney boleh layari http://offers.imoney.my/campaign/jomskor atau ikuti iMoney di Facebook untuk maklumat lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!