Malaysia berisiko hilang bakat dalam IR4.0: Tun M
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia berisiko hilang potensi inovasi baharu daripada bakat semula jadi dalam negara yang belum diteroka, jika industri tempatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tidak mengguna pakai Industri 4.0 (IR4.0) serta kemajuannya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Dr Mahathir juga menggesa industri berkembang dan berinovasi selari dengan keperluan IR4. 0.
"Revolusi Perindustrian Keempat akan mengubah jenis kerja yang diperlukan dalam industri. Kami berpendirian bahawa sebagai sebuah negara, kita mesti mewujudkan pekerjaan untuk masa depan.
"Matlamat kami adalah untuk mengautomasikan kerja, tetapi menginsankan pekerjaan. Biarkan mesin melakukan kerja berbahaya dan berulang, dan memastikan manusia mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kreativiti, empati dan interaktif," katanya dalam ucapannya pada Beyond Paradigm Summit 2019 di sini.
Oleh itu Dr Mahathir berkata, tindak balas segera perlu bagi membolehkan Malaysia mewujudkan, mengguna pakai dan mengintegrasikan penyelesaian teknologi tersendiri untuk mentransformasikan tenaga kerja dan industri.
Bagi memanfaatkan sepenuhnya inovasi teknologi dalam rangka kerja ekonomi Malaysia, hubungan simbiotik perlu dijalin antara agensi kerajaan dan sektor swasta yang relevan, katanya.
"Kami gembira melihat Serba Dinamik IT Solutions menjadi peneraju untuk memulakan aktiviti ini bagi menggerakkan dan memandu arah perniagaan dalam opsyen digital," katanya.
Dr Mahathir juga menggesa PKS dan perniagaan tempatan supaya berada di barisan hadapan transformasi digital untuk terus menarik pelabur dan berdaya saing dalam skala global.
Beliau berkata, anjakan paradigma dalam kalangan PKS, terutama dalam inovasi dan penyelesaian kreatif, penting untuk mendorong pergerakan industri perkilangan, memandangkan ia melibatkan 98.5 peratus syarikat pembuatan dan 42 peratus pekerjaan.
"Untuk mewujudkan ekosistem Industri 4.0, kedua-dua pemimpin industri dan pembekal bakat perlu memahami sepenuhnya dan mengguna pakai teknologi pengganggu ini. Buat masa ini, mereka wajib menerima pakai dan seterusnya perlu menguasai teknologi berkenaan," katanya.
Menurut Dr Mahathir, walaupun semua gangguan teknologi yang mengancam pekerjaan tradisional, kerajaan bertekad untuk mewujudkan masa depan Malaysia yang adil dan berperikemanusiaan, disokong oleh kemakmuran bersama.
"Selain itu, 65 peratus anak-anak yang kini dalam pendidikan rendah, diunjurkan akan bekerja dalam pekerjaan yang tidak wujud hari ini.
"Memandangkan 70 peratus tenaga kerja hari ini terdiri daripada lulusan SPM, meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dari semua peringkat umur sangat penting dalam memastikan kejayaan dalam landskap ekonomi kita untuk tahun-tahun akan datang," katanya.
Sidang Kemuncak Beyond Paradigm 2019 itu dianjurkan oleh Serba Dinamik Holdings Bhd.
Sidang kemuncak dua hari yang bertemakan ‘Mewujudkan Penyelesaian Digital Tersendiri’ itu mempamerkan teknologi canggih yang merangkumi idea teras automasi dan pertukaran data IR4.0. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!