Fuad akui sukar pertahan pingat emas
PETINJU negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan menyedari peluangnya untuk mempertahankan pingat emas kategori light fly 49 kilogram (kg) di Sukan SEA Filipina, agak sukar.
Atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 28 tahun itu pernah mencatat sejarah dalam sukan tinju negara apabila merangkul pingat emas kategori itu buat julung kalinya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Muhamad Fuad yang bakal membuat penampilan kali keenam di sukan dwitahunan itu berkata beliau tidak menetapkan sasaran spesifik ekoran kekurangan pendedahan kejohanan luar negara.
"Untuk tahun ini, hanya dua kejohanan luar negara sahaja kami sertai berbanding petinju Thailand dan Filipina, di mana mereka sekurang-kurangnya telah sertai enam kejohanan antarabangsa.
"Kami banyak ketinggalan perlawanan. Kalau ikutkan memang hendak pertahan pingat emas tapi saya tidak boleh jangka pihak lawan dari segi prestasi," katanya kepada Bernama.
Beliau yang menyertai Sukan SEA sejak 2009 berkata, petinju dari Thailand dan Filipina bakal memberikan saingan sengit kepadanya nanti.
Muhamad Fuad dan seorang lagi petinju negara, Arfiqanie Ahmad Anshori dijadikan sandaran buat skuad negara untuk meraih pingat di Filipina selepas R. Indran membuat keputusan untuk mengundur diri dari kem kebangsaan.
Mengulas mengenai persediaan Sukan SEA, Muhamad Fuad mengakui mereka kini sudah mencapai tahap 80 peratus bersedia dari segi latihan dan selebihnya akan dilengkapkan dengan beberapa kejohanan serta persiapan di luar negara pada Oktober ini.
Muhamad Fuad juga akan turut menyertai Kejohanan Tinju Terbuka Antarabangsa Thailand pada 18 hingga 28 Julai ini dan menyasarkan untuk berada dalam kelompok 16 terbaik pada kejohanan itu nanti.
"Saya sasar 16 terbaik kerana ia akan disertai oleh petinju dari semua benua. Jika kalah, kami diberi peluang untuk cari rakan sepelatihan selepas itu, dari benua berlainan. Ini peluang yang kami semua kena manfaatkan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!