80 anak Dun Permatang terima sumbangan
TAMAN NILAM – Kebajikan seramai 80 anak penduduk dalam Dun Permatang dibela sebaiknya apabila mereka menerima sumbangan kelengkapan sekolah sekali gus meringankan beban keluarga.
Adun Permatang, Rozana Zainal Abidin menjelaskan, 80 anak penduduk itu terpilih untuk menerima sumbangan sempena Program Bantuan Masuk Sekolah Ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) 2019 Dun Permatang.
“Mereka ini dipilih yang dilahirkan 2012 lalu dan menerima sumbangan berupa beg, set bekas makanan, botol air dan set alat tulis untuk keperluan di sekolah nanti.
“Alhamdulillah, kali ini saya berpeluang untuk menyampaikan sumbangan kepada anak penduduk terpilih dan membantu mengurangkan kos perbelanjaan keluarga.
“Program Bantuan Masuk Sekolah Ahli (Tawas) ini salah satu komponen dalam program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan dijalankan secara berkala setiap tahun,” katanya.
Rozana yang mesra dipanggil YB Kakak itu berkata, program ini juga manfaat tambahan kepada ahli Tawas bagi membantu anak di Selangor yang akan memasuki alam persekolahan darjah 1 tahun depan.
“Kerajaan negeri yang turut mengutamakan pendidikan ini sentiasa komited dalam menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat Selangor yang bertujuan meringankan beban mereka.
“Meskipun nilai inisiatif ini mungkin tidak besar, namun ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada rakyat di Selangor dengan memberi galakan menerusi insentif khas untuk anak yang memasuki sekolah.
“Ini merupakan simbolik kepada anak Selangor dan saya harap insentif ini dapat dipelbagaikan selain menjadi impak besar dalam pendidikan,” katanya kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!