Malaysia sediakan kertas strategik bantu masyarakat Rohingya
KUALA LUMPUR - Kementerian Luar sedang menyediakan kertas strategik bagi melihat peranan paling optimum boleh dimainkan Malaysia dalam membantu masyarakat Rohingya.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia konsisten dalam memperjuangkan nasib etnik itu yang tertindas terutama dalam membawa penjenayah terlibat ke muka pengadilan.
"Malaysia juga konsisten dalam memastikan penghantaran balik (pelarian Rohingya) dibuat secara sukarela, selamat dan bermaruah serta kita sebagai sebuah negara sentiasa menghulurkan bantuan kepada Rohingya sama ada di Cox's Bazar atau dalam Myanmar dan terutamanya dalam negara kita," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) sama ada kerajaan perlu membuat cadangan kepada ASEAN untuk menilai semula prinsip tidak campur tangan negara masing-masing, yang dilihat menjadi penghalang kepada penyelesaian konkrit isu Rohingya.
Beliau berkata kaedah libat urus secara konstruktif dengan Myanmar pernah dilaksanakan di peringkat ASEAN bagi mencari penyelesaian berhubung isu Rohingya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!