Tiada lagi keserasian, Betty Banafe bercerai 10 Julai lalu
PELAKON Betty Banafe mendedahkan kini telah bergelar ibu tunggal selepas perkahwinannya bersama suami, Bruce Dargus menemui titik noktah.
Pasangan ini dilaporkan telah bercerai dengan talak satu, pada 10 Julai lalu di Mahkamah Syariah Johor Bahru setelah tujuh tahun hidup bersama.
Bagaimanapun, Betty atau nama lengkapnya Betty Ibtisam Abu Bakar, 40, menerusi kenyataannya yang dipetik daripada sebuah portal hiburan tidak berhasrat untuk berkongsi butiran lanjut berhubung perceraiannya itu.
Mengakui sudah tiada keserasian di antara mereka, Betty menganggap perpisahan itu adalah yang terbaik buat mereka. Malah, pelakon filem Buai Laju Laju ini percaya kepada hikmah yang menanti buatnya dan bekas suami.
“Kalau ikutkan saya tak nak kongsi dan tak nak ulas lebih lanjut mengenai perkara ini tapi takut nanti ada berlaku fitnah, saya terpaksa beritahu.
“Saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi dan bekas suami seorang yang baik tapi antara kami sudah tiada keserasian dan jodoh kami tidak panjang,” katanya sebagaimana dipetik daripada laporan berkenaan.
Pada tarikh tersebut juga, Betty menerusi laman Instagramnya turut berkongsi luahan hatinya yang inginkan kehidupan yang lebih baik selepas ini.
“Detik ini hari ini 10 July 2019, sangat bermakna buatku dan keluargaku. Segala yang ada bersama kami hanya pinjaman dari yang ESA.
“Peringatan buat diriku jua, agar sentiasa bersyukur dan merubah hidup menjadi lebih baik. Mencari teman yang baik dunia akhirat agar kita sentiasa di landasan yang diredai.
“Percaya pada aturan-NYA yang ESA. Allahuakhbar.. maaf zahir batin... Dear sahabatku sahabatku dari sekolah rendah sampai saat ini, followers yang setia denganku atau yang pernah mengenaliku, saudara saudaraku dari yang kecil sampai yang tua, adik beradik ku yang tercinta,
“Aku hargai kehadiranmu dalam hidupku. Terima kasih banyak atas perhatian kalian mahupun teguran baik dan buruk, alhamdulillah atas semuanya.. Moga ALLAH memberkati kita semua dan mengampunkan dosa dosa kami semua. Amin ya Rab,” luahnya.
Betty dan Bruce Dargus berkahwin pada Disember 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Julia Claire Dargus, 6, dan Bruce Dean Dargus, 4.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!