Tukang cuci dijel 8 tahun, 4 sebat rompak ibu bersama bayi
KOTA BHARU - Seorang tukang cuci dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh mahkamah sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah merompak wanita bersama bayinya Februari lalu.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Syazwan Ali, 26, dan turut memerintahnya menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan pada 1 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak dengan menggunakan parang terhadap Noorbaizura Othman, 29, dengan mengambil dua gelang emas, sebentuk cincin emas dan dua rantai leher emas bernilai RM5,000.
Kejadian berlaku di hadapan sebuah rumah di Jalan Kedai Lalat, Kampung Chepa, Sering di sini pada jam 1.35 petang, 10 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa serta anaknya berada di luar rumah dan sedang mengunci pintu jeriji sebelum didatangi tertuduh dikenali sebagai ‘Mat We’ sambil menutup muka dengan baju serta bersenjatakan parang.
Pengadu kes itu mengenali Mat We kerana sering melihat tertuduh kerana tinggal berdekatan dengan rumahnya.
Tertuduh kemudian mengacukan parang kepada mangsa sebelum wanita itu menjerit meminta tolong.
Tertuduh turut mengacukan parang ke leher anak mangsa dan memaksanya membuka pintu.
Mat We dan mangsa bergelut sebelum lelaki itu melarikan beg tangannya yang mengandungi barangan berharga.
Lelaki itu berjaya ditahan polis di Tanjung Pelepas Johor pada 1 Julai lalu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang peniaga kedai runcit kerugian barangan kemas manakala bayi perempuannya cedera di telinga kiri dan mata kanan selepas disamun seorang lelaki di Kampung Chepa, Sering, di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!