KJ kecewa Speaker tidak adil
KUALA LUMPUR – Blok pembangkang melahirkan rasa kecewa dengan sikap Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang dianggap sebagai berat sebelah dan seolah-olah cuba menyebelahi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Perkara ini susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat yang menolak usul blok pembangkang untuk merujuk Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Macam mana dia boleh jadi hakim pun saya tak tahulah. Tak guna,” kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan ketika membahaskan usul untuk merujuk Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sehingga beberapa wakil rakyat pembangkang angkat kaki dan keluar dari dewan.
Usul itu dibuat kerana ungkapan 'merompak' yang pernah dibuat Guan Eng tahun lalu kepada pentadbiran BN berhubung kutipan hasil cukai GST, yang menurut mereka mengelirukan dewan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!