Azmin perlu letak jawatan jika video intim sahih, kata Anwar
KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu meletakkan jawatan sekiranya video intim yang didakwa miripnya dibuktikan benar, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pandangan awal saya, dia (Mohamed Azmin) tak perlu letak jawatan. Tapi (sekarang) bergantung kepada penyiasatan.
“Kalau konklusif, dalam erti kata (dia merupakan) pelaku dalam adegan itu, sudah tentu dia kena letak jawatan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Video intim: Anwar terkejut setiausaha politik ditahan
Video intim: Haziq, lima individu direman enam hari
Video intim: Polis tahan tiga lagi lelaki di Johor
Sementara itu, disoal sama ada PKR akan melakukan siasatan dalaman terhadap video itu, Anwar berkata, siasatan telah pun dijalankan namun tiada siapa tahu dalang di sebaliknya.
“Siapa dalang? Tak ada klu (clue). Kami dah bincang, tak ada siapa yang tahu,” katanya yang turut menafikan parti berpecah kerana isu video intim tersebut.
Katanya, secara dasar, PKR masih kukuh sebagai sebuah parti.
“Dari segi parti, masih solid. Tapi memang ada kesan kepada parti, sebab dia (Mohamed Azmin) Menteri Hal Ehwal Ekonomi,” katanya lagi.
Dalam perkembangan terbaharu, setiausaha politik Anwar yang juga Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersama seorang lagi lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan video itu.
Terdahulu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dalam isu video intim ditahan bersama lima lagi lelaki berusia lingkungan 25 hingga 38 tahun di sekitar Lembah Klang dalam tangkapan berasingan bermula jam 6 petang sehingga 10 malam, Ahad lalu.
Selepas itu, tiga lagi individu ditahan di sekitar Johor Bahru bagi membantu siasatan isu video berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!