Pemilik kedai, rakan mengaku tidak bersalah pukul remaja
BALIK PULAU - Seorang pemilik kedai runcit bersama rakannya yang masih di bawah umur mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan mencederakan seorang remaja di mahkamah majistret, di sini pagi tadi.
Toh Tat Foo, 36, dari Solok Titi Teras yang dituduh bersama rakannya yang berusia 17 tahun melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di No 26, GVA Genting, Simpang Empat, di sini pada 4.15 pagi, 10 Julai lalu.
Kedua-duanya membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Azzuin Moati selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang remaja berusia 13 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Pang Meng Tuck manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Lau Jun Yi.
Mahkamah membenarkan Tat Foo diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin, manakala rakannya dibenarkan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditangguh sehingga 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah sama, remaja berusia 13 tahun yang merupakan mangsa didakwa melakukan pecah rumah ke atas kedai milik Tat Foo di lokasi, waktu dan hari yang sama.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001.
Bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.
Proses pendakwaan terhadapnya turut dikendalikan Meng Tuck dan tertuduh diwakili peguam Muhammad Noor Azfar Noor Azmi.
Tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh dan Nur Azzuin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menangguhkan kes sehingga 21 Ogos ini untuk sebutan semula dan difahamkan kesemua tertuduh membayar wang jaminan.
Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja cedera di bahagian belakang badan selepas dipercayai menceroboh sebuah kedai runcit di Simpang Empat di sini.
Remaja berusia 13 tahun mengalami calar balar di belakang dan beberapa bahagian badannya dipercayai dipukul menggunakan getah paip dan rotan.
Menurutnya, remaja yang sudah tidak bersekolah itu dipercayai dipukul oleh dua lelaki termasuk pemilik kedai runcit berkenaan selepas berjaya ditangkap ketika memecah masuk premis tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!