Penduduk resah, rumah jadi hostel pekerja
KULAI - Penduduk Taman Scientex Senai resah dengan pertambahan rumah yang dijadikan sebagai hostel pekerja sejak tiga tahun lalu.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd Husni Abdul Rahim berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan penduduk merasa tidak tenteram kerana pelbagai masalah sosial dan vandalisme timbul.
Katanya, menerusi pemerhatian dilakukan bersama Rukun Tetangga Taman Scientex Senai terdapat 120 buah rumah dijadikan sebagai hostel pekerja setakat ini.
“Tiga tahun lepas, jumlah rumah yang dijadikan hostel pekerja cuma 30 buah rumah. Jumlah itu terus meningkat dengan rumah jenis dua tingkat dan dua setengah tingkat dijadikan hostel.
“Pada peringkat awal hostel didiami pekerja asing, tetapi sekarang ini kami lihat pekerja tempatan tinggal di hostel menimbulkan masalah sosial.
“Kedudukan taman perumahan di sini di kelilingi kilang-kilang menyebabkan ia menjadi sasaran segelintir pihak mengambil jalan mudah membuka hostel pekerja,” katanya di sini.
Mohd Husni mendakwa gejala sosial semakin berleluasa sehingga pernah berlaku tangkapan kes khalwat di hostel pekerja terbabit sebelum ini.
“Sudah banyak kali tegur, tetapi mereka yang tinggal di hostel pekerja tidak mengendahkannya.
“Lagi dicabar kami penduduk di sini dengan membuat bunyi bising motosikal dan buang sampah dengan sesuka hati di depan rumah,” katanya.
Tambah Mohd Husni, dua sesi dialog bersama ADUN Senai Tee Boon Tsong dan Majlis Perbandaran Kulai ( MPKU) sejak Julai tahun lepas.
“Selepas itu diadakan dialog kedua pada 13 April lalu yang turut dihadiri wakil dari Unit Perancangan Perumahan Johor.
“Komitmen turun padang sangat dihargai penduduk, namun kami tetap kecewa kerana isu hostel ini masih belum selesai,” katanya.
Penduduk, P Thinagaran, 38, pula menggesa pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian agar isu hostel tidak melarat.
Katanya, apa yang ditanggung penduduk boleh disifatkan sebagai gangguan yang teruk memandangkan rumah yang dijadikan hostel seakan tidak terkawal.
“Papan tanda larangan menjadikan rumah sebagai hostel pekerja dilihat seperti hiasan sahaja,” katanya.
Penduduk, Syahdan A Rahman, 42, berkata dia pernah bertikam lidah dengan pekerja yang tinggal di hostel berdepan dengan rumahnya.
Katanya, sampah yang dibuang berselerak menyebabkan dia menegur pekerja terbabit.
“Saya dan keluarga harapkan rumah yang dibeli di sini menjadi kediaman yang selesa, tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian mendapatkan Boon Tsong untuk mendapatkan kenyataan berhubung sebuah syarikat pemaju telah menyatakan minat untuk membina sebuah hostel pekerja di kawasan Senai.
Beliau berkata, perkara itu memerlukan perbincangan lebih lanjut memandangkan kawasan Senai memiliki banyak kilang yang beroperasi dalam sektor perindustrian.
“Pada tahun lalu satu dialog berkenaan isu warga asing juga telah diadakan bersama-sama pihak majikan.
“Isu ini juga telah berkali dibangkitkan di dalam mesyuarat oleh pihak Ahli Majlis,tidak ketinggalan juga telah dibangkitkan di dalam mesyuarat tindakan daerah dan sidang DUN baru-baru ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!