Resort Wear Nusantara ilham kreatif Rizal Latif
Pereka kelahiran Melaka mahu suntik kelainan dalam penampilan jejaka ketika bercuti
HAMPARAN jelapang padi yang membuatkan saujana mata memandang dan keindahan panorama pantai khususnya di Pulau Langkawi, Kedah mencetuskan inspirasi kepada pereka, Shahrizal Chek Abdol Latif atau Rizal Latif untuk mereka.
Hasil imaginasi kreatif itu, maka terhasillah koleksi pakaian lelaki yang dinamakan Resort Wear Nusantara.
Kepada e-Trend, Rizal berkata, setiap elemen pelancongan yang terdapat di negeri Kedah Darul Aman itu diterapkan pada rekaan baharunya.
Mengimbau semula bagaimana idea itu terhasil, semuanya bermula ketika dirinya menerima undangan mengadakan pertunjukan fesyen sempena Minggu Fesyen Kedah 4.0 anjuran pusat beli-belah Aman Central di Alor Setar, Kedah pada awal Julai lalu.
"Mendengar sahaja negeri Kedah, fikiran saya pantas membayangkan tarikan istimewa seperti kehijauan sawah padi, pulau yang cantik dan keadaan cuaca panas di sana.Lantas, saya memilih untuk menghasilkan seleksi pakaian konsep Resort Wear yang menarik, kreatif dan minimalis bagi menyuntik kelainan penampilan jejaka ketika bercuti.
"Selain itu, penganjuran pertunjukan fesyen sedemikian membuka platform terbaik kepada jenama tempatan memperkenalkan sekali gus mempromosi produk kami dalam kalangan pencinta fesyen dan pemain industri.
"Lagipun jika dihitung, hampir lima tahun pentas peraga Malaysia sepi dalam mempamerkan inovasi pakaian dan pelengkap gaya lelaki konsep Resort Wear,” jelasnya ketika ditemui e-Trend di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Rizal memberitahu, cita rasa fesyennya mempengaruhi lakaran rekaan dalam mengeluarkan koleksi pakaian di bawah labelnya sendiri, RLmenswear. Bagaimanapun, luah anak kelahiran Melaka itu, permintaan dan sambutan terhadap koleksi fesyen Resort Wear di negara ini masih belum mencapai graf positif berbanding pakaian kasual, gaya jalanan (street wear) dan sut.
"Kelaziman kita apabila bercuti tidak terlalu mengendahkan pakaian liburan kerana menyifatkan item fesyen itu boleh dibeli di pasar seni negara yang dikunjungi tanpa memikirkan kesannya.
"Sebagai contoh, kita membeli baju-T atau kemeja batik dari negara jiran dan membawa ke pulang ke tanah air, maka secara tidak langsung kita mempromosikan karya luar di sini. Bukankah lebih baik kita yang memperkenal produk tempatan di negara luar," tegasnya.
Moden kontemporari
Sehubungan itu, enggan membiarkan situasi berkenaan berlarutan, Rizal mengambil inisiatif merapatkan jurang dengan mengetengahkan koleksi Resort Wear Nusantara yang bukan sahaja boleh digayakan ketika bercuti, bahkan menghadiri majlis semi formal.
Rekaannya lebih kasual dan moden kontemporari yang memberi peluang kepada jejaka menerapkan konsep suai dan padan bersama pelengkap gaya pilihan mengikut kreativiti pemakai.
"Misalnya, bagi menyuntik gaya santai ketika menghirup air kelapa tepi pantai padankan sahaja kemeja cetakan flora bersama seluar pendek paras lutut dan topi.
"Namun begitu, apabila baju itu dipakai bersama seluar slack atau jean pula, maka ideal buat kaum Adam menggayakan tatkala menghadiri majlis semi formal atau memenuhi undangan majlis perkahwinan," jelasnya yang menampilkan lapan rekaan busana Resort Wear Nusantara potongan longgar dan selesa.
Menariknya, selain kemeja bermotif beliau turut mencipta inovasi apabila menterjemahkan uniform kelasi dan baju silat dalam rekaan Resort Wear Nusantara.
Dari segi pemilihan warna, Rizal menerapkan pelbagai palet rona terang dan gelap seperti hitam, kelabu, putih dan merah bagi memberi pilihan kepada golongan jejaka dan menyuntik imej eksklusif serta segar meskipun ketika bercuti.
Ujar Rizal, beliau lebih cenderung menggunakan linen dan kain kapas kerana material berkenaan bersesuaian dengan cuaca di Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!