Pemilik butik mengaku tidak bersalah, tipu pakej umrah

Tertuduh ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Temerloh hari ini.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Temerloh hari ini.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang pemilik butik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas 18 pertuduhan membabitkan penipuan pakej umrah dengan nilai keseluruhan RM19,800 dan memalsukan dokumen pada November tahun lalu.

Tertuduh, Noraini Abu Bakar,33, dari Setia Alam,Selangor itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Ti Pei Si.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Low Chin How manakala tertuduh diwakili peguambela, Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan curangnya melakukan penipuan terhadap sembilan mangsa di pelbagai lokasi berasingan di Mentakab dan Temerloh pada 21 hingga 28 November tahun lalu pada waktu berbeza dengan memperdayakan dan mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang tunai RM2,200 setiap seorang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memalsukan surat rasmi milik Syarikat MHMT Tours Travel Sdn Bhd untuk tujuan meyakinkan peserta umrah di lokasi berasingan di daerah ini dalam tempoh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.

Pei Si kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 14 Ogos depan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!