Tsunami: Malaysia sedia hulur bantuan SAR
PUTRAJAYA - Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan terutamanya aktiviti mencari dan menyelamat mangsa dalam kejadian tsunami yang berlaku di Selat Sunda, Indonesia, pada Sabtu lepas, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Nadma dalam satu kenyataan hari ini berkata, agensi itu melalui Pusat Kawalan Bencana Negara dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) memantau kejadian itu melalui Badan Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB), ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre) dan UN Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (UNOCHA).
Menurut Wisma Putra, Indonesia masih belum membuka ruang untuk bantuan antarabangsa kerana berpandangan respons masih memadai dengan kapasiti dalaman negara dan skala kejadian tsunami ini masih boleh diuruskan oleh BNPB dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), kata Nadma.
Menurut Kedutaan Malaysia di Jakarta pula, skala tsunami itu kecil berbanding kejadian yang telah berlaku di Lombok dan Palu.
"Pihak kedutaan akan berbincang dengan Kementerian Luar Indonesia berkaitan bantuan yang boleh dihulurkan Malaysia," kata Nadma yang turut menzahirkan rasa simpati kerajaan Malaysia terhadap kejadian tsunami yang berlaku di Selat Sunda itu.
Nadma berkata, berdasarkan kepada Standby Arrangement Plan, Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan terutamanya dalam aktiviti mencari dan menyelamat, yang mana Pasukan SMART Nadma merupakan Pasukan USAR utama bertaraf International Search and Rescue Advisory Group di Asean.
Menurut kenyataan Nadma itu, berdasarkan laporan BNPB, letusan gunung berapi Anak Krakatau di Teluk Sunda telah mencetuskan tsunami yang membadai pantai peranginan di antara kepulauan Sumatera dan Jawa, menyebabkan ratusan penduduk maut dan cedera, sebahagian lagi masih hilang.
Antara kawasan-kawasan yang terkesan adalah Pantai Tanjung Lesung, Pantai Sumur, Pantai Teluk Lada, Pantai Panimbang dan Pantai Carita.
Sehingga 10 malam semalam, 222 dilaporkan maut, 843 lagi cedera dan 28 orang masih hilang.
Semalam, Wisma Putra berkata tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung dalam kejadian tsunami di Indonesia itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!