Had undi: Peranan besar anak muda tentu hala tuju negara
KUALA LUMPUR - Golongan muda negara ini mempunyai peranan besar dalam proses demokrasi dan menentukan hala tuju bangsa dan negara susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had usia kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat, semalam.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan itu satu sejarah dalam Perlembagaan khususnya bagi golongan muda kerana mereka diberdaya untuk memilih wakil rakyat dan mengangkat tanggungjawab sebagai rakan kongsi pembina bangsa bersama anak watan lain.
"Ia sekali gus menyerlahkan politik dalam Malaysia Baharu yang memberi keutamaan kepada politik matang, progresif dan membina berpaksikan rakyat.
"Dengan perkataan lain, bukan politik untuk menagih kekuasaan dengan apa cara sekali pun, termasuk mengamalkan politik keji, kotor dan jijik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata pindaan diterima sebulat suara itu menandakan sokongan semua pihak terhadap kerajaan untuk melaksana reformasi institusi di bawah pentadbiran Malaysia Baharu dan mencerminkan kemajuan negara menuju demokrasi matang dan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Pada akhirnya, tiada siapa boleh menafikan peranan utama Dr Mahathir meluangkan masa untuk bertemu secara peribadi dengan ‘bloc’ pembangkang di Dewan Rakyat sekali gus menampilkan kepimpinan berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung.
“Harapan rakyat terus memuncak, maka tiada pilihan melainkan memelihara kestabilan dan keharmonian di bawah kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri," katanya.
Beliau juga menekankan kejayaan meminda perlembagaan itu adalah hasil ketekunan serta komitmen Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam melakukan temu tembung dengan ahli-ahli Parlimen termasuk barisan pembangkang dan pemegang taruh.
Semalam sejarah baharu tercipta dengan lulusnya pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.
Selain menurunkan umur warganegara layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!