Dewan Rakyat lulus usul tambahan 13 kerusi Dewan DUN Sabah

Datuk Mohammad Ariff Md Yusof
Datuk Mohammad Ariff Md Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibentangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pagi tadi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md Yusof berkata, usul berkenaan diluluskan secara berbelah bahagi, di mana seramai 158 Ahli Parlimen menyokong usul berkenaan.

"Tidak setuju tiada, tidak kurang daripada setengah (yang setuju) maka usul ini disetujukan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul itu pagi tadi berkata, pertambahan 13 kerusi DUN itu memberi manfaat kepada rakyat terutama dalam memperoleh perkhidmatan lebih cekap dan berkesan daripada wakil rakyat.

Usul itu kemudiannya digulung oleh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong sebentar tadi.

Pada 9 Ogos 2016, DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 73, berbanding 60 ketika ini.

Laporan SPR itu sudah diserahkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Februari 2017, namun ia tidak diusul untuk pembentangan pada persidangan Parlimen ke-13 yang lalu.

Berdasarkan persempadanan baharu itu, 13 kerusi tambahan yang dicadangkan ialah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebelum ini dilaporkan yakin tambahan 13 kerusi DUN Sabah itu akan mendapat kelulusan di Parlimen yang hanya memerlukan majoriti mudah dan bukan dua pertiga kerana tidak membabitkan pindaan perlembagaan.

Dalam pada itu, isu lain berkaitan Sabah dan Sarawak turut dibangkitkan Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula pada 10 pagi ini.

Antaranya membabitkan pertanyaan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) mengenai Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Willie anak Mongin (PH-Puncak Borneo) yang ingin tahu langkah kerajaan memperkasakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) supaya memanfaatkan lebih banyak usahawan dari Sabah dan Sarawak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!