Pekerja Bangladesh dikhuatiri lemas terjatuh dalam laut
LUMUT - Seorang pekerja warga Bangladesh dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari sebuah terminal di Teluk Rubiah, di sini hari ini.
Menurut maklumat awal, lelaki berusia 42 tahun tersebut sedang melakukan kerja di terminal berkenaan sebelum terjatuh ke dalam laut.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.10 tengah hari dan bergegas ke lokasi bersama anggota bomba yang lain.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan di lokasi mangsa dikatakan terjatuh dan kawasan sekitarnya termasuk di permukaan laut.
"Operasi turut membabitkan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pulau Pangkor, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!