Lembu ketagih makan nasi
POKOK SENA - Seekor lembu betina lebih berselera menikmati nasi bersama garam berbanding makan rumput.
Pemiliknya Ain Zahirah Zokri, 24, berkata, lembu berusia dua tahun itu merupakan lembu pertama yang dibeli pada Februari lalu dengan harga RM1,600.
Katanya, dia mula perasan selepas beberapa kali melihat haiwan peliharaannya itu menghalau ayam dan makan kesemua nasi.
"Selalunya nasi itu adalah lebihan yang saya masak pada waktu tengah hari. Lembu ini akan merajuk kalau saya tidak memberikannya nasi," katanya, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lala, di sini.
Ain Zahirah yang mengikut jejak neneknya Rahmah Ismail, 74, yang memelihara enam ekor lembu.
Tambahnya, walaupun sarat mengandung dia sanggup mengutip ranting kayu pada waktu malam untuk dijadikan unggun api bagi menghalau agas dari menggigit lembu peliharaannya.
Sementara itu, Rahmah berkata selera pelik haiwan itu sangat berbeza dengan lembu-lembu peliharaannya sebelum ini.
"Sudah lama saya membela lembu tapi tiada yang suka makan nasi. Alhamdulillah, walaupun makan nasi depa membesar dengan baik dan sihat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!