Pengusaha ladang babi perlu tingkatkan biosekuriti, kata Tze Tzin

Tze Tzin (dua dari kanan) ketika bercakap pada sidang media di Makmal Kesihatan Awam Veterinar di sini hari ini.
Tze Tzin (dua dari kanan) ketika bercakap pada sidang media di Makmal Kesihatan Awam Veterinar di sini hari ini.
A
A
A

SEPANG - Pengusaha-pengusaha industri babi di negara ini digesa untuk meningkatkan biosekuriti di ladang masing-masing dalam tempoh dua bulan ini sebagai langkah pencegahan penyakit African Swine Fever (ASF).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, tindakan itu termasuk memastikan keadaan kandang haiwan tersebut dalam keadaan bersih, kemasukan pelawat ke kandang perlu dielakkan, pekerja memakai pakaian yang bersesuaian dan sebagainya.

Katanya, meskipun sehingga kini Malaysia disahkan bebas daripada ASF iaitu penyakit yang boleh menyebabkan kematian hampir 100 peratus babi dan dan babi liar, namun langkah pencegahan awal perlu diambil.

"Ketika ini kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia telah mengadakan kempen kesedaran awam mengenai penyakit ASF melibatkan pengusaha-pengusaha ladang babi.

"Sehubungan itu, kita mengharapkan semua pengusaha memberi kerjasama untuk meningkatkan pencegahan penyakit dengan memastikan biosekuriti diberi penekanan yang tinggi.

"Selain tindakan yang dinyatakan tadi, pemilik ladang turut dilarang menggunakan sisa makanan (terutama produk babi) sebagai bahan makanan kepada babi, pastikan pagar perimeter ladang dalam keadaan baik dan kemasukan lori untuk menghantar makanan babi dan untuk tujuan membeli haiwan itu perlu melalui proses disinfeksi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar Pencegahan Kemasukan dan Perebakan penyakit ASF: Ancaman dan Langkah Kawalan Dalam Negara kepada semua penternak babi di seluruh Semenanjung Malaysia di Auditorium Makmal kesihatan Awam Veterinar di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga akan membuat pemantauan dari masa ke semasa untuk memastikan pemilik ladang ternakan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Jika ada pemilik yang tidak mematuhi biosekuriti yang ditetapkan tindakan termasuk menarik kembali lesen ladang akan dilakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!