Nasib Sabri terus dapat perhatian
TASEK GELUGOR - Nasib bekas tentera yang sebelum ini dilaporkan menyelongkar sampah untuk mencari rezeki mendapat perhatian Persatuan Veteran Angkatan Tentera Bangsa Cina (MACVA) yang berkunjung ke kediamannya petang semalam.
Kehadiran pihak terlibat menyebabkan Sabri Sab, 58, dan ibunya, Tipah Jalil, 79, terharu dengan keprihatinan MACVA yang tampil menghulurkan bantuan.
Timbalan Pengerusi MACVA, Kok Ching Huat berkata, selepas kisah Sabri disiarkan Sinar Harian, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada bekas askar tidak berpencen itu.
Menurutnya, pihaknya turut melancarkan tabung derma selama tiga hari dan kisah Sabri yang tular itu berjaya mendapat kutipan sebanyak RM9,270 daripada orang ramai termasuk beberapa persatuan veteran tentera.
"Dengan hasil kutipan yang diterima kami membeli barangan keperluan seperti makanan bernilai RM500 dan wang tunai RM500 serta cek bernilai RM8,370 diserahkan kepada Sabri untuk kegunaan mereka sekeluarga.
"Walaupun MACVA adalah Persatuan Veteran Bangsa Cina tetapi sebagai warganegara Malaysia, kami tetap akan membantu bekas tentera bangsa lain yang menghadapi kesusahan," katanya ketika ditemui di sini.
Ching Huat berkata, pihaknya akan mengusahakan bantuan susulan termasuk membelikan kerusi roda elektrik untuk ibu Sabri yang menghidap penyakit parkinson dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu.
Beliau turut menasihatkan Sabri agar cuba mengubah kehidupan keluarganya dengan berniaga kecil-kecilan dan menggunakan wang derma yang diberikan sebagai modal.
"Sudah pasti ramai yang sedih dengan nasib dihadapi Sabri sekeluarga dan kami amat mengharapkan agar dengan bantuan tidak seberapa yang dihulurkan ini akan memberi semangat kepadanya mengubah kehidupan yang lebih baik buat mereka sekeluarga," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Sabri terpaksa mencari punca rezeki daripada sisa buangan yang masih boleh digunakan dan dikitar semula demi kelangsungan hidup bersama ibunya yang berusia 79 tahun dan ahli keluarganya.
Dia hanya memperoleh hasil sekitar RM20 hingga RM30 sehari, manakala ibunya menerima bantuan Jabatan kebajikan masyarakat sebanyak RM300 sebulan, namun ia belum cukup untuk menampung kehidupan harian mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!